Kaedah farmakologikal

Selain mencuba kaedah-kaedah bukan farmakologikal iaitu kaedah tanpa menggunakan ubat-ubatan, anda juga boleh menggunakan ubat-ubatan bagi membantu anda berhenti merokok.

Ubat-ubatan ini dapat membantu anda mengurangkan kesan ketagihan nikotin. Antara produk-produk yang berada di pasaran adalah seperti terapi gantian nikotin atau nicotine replacement therapy (NRT) dan varenicline.

Apakah itu terapi gantian nikotin?

Terapi gantian nikotin bertujuan membekalkan sukatan nikotin yang cukup kepada perokok untuk mengurangkan gejala ketagihan TANPA bahan-bahan perosak seperti tar dan karbon monoksida seperti yang terdapat di dalam asap rokok. Nikotin tidak menyebabkan kanser tetapi asap rokok biasa yang anda sedut boleh menyebabkan kanser kerana asap tersebut mengandungi pelbagai bahan beracun.
 

Apakah jenis-jenis produk terapi gantian nikotin yang boleh saya gunakan?

Produk NRT terdapat dalam beberapa bentuk iaitu gula-gula getah, tampalan dan juga alat sedutan. Terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum anda memulakan terapi seperti ujian tahap pergantungan kepada nikotin iaitu Fagerstrom Test for Nicotine Dependence (FTND), kesesuaian perokok terhadap jenis produk yang dipilih dan juga rekod penggunaan terdahulu jika perokok pernah menggunakan NRT.